Image and video hosting by TinyPic
Kamu tidak perlu mengenali kami kerana kami di kalangan kamu semua yang saling memperingatkan kepada Allah dan Rasul.

Sunday 24 May 2015

Bina diri, bukan mencari

Berhenti sejenak, toleh ke belakang. Teliti sedalam-dalamnya maksud bekas telapak kaki yang dibenamkan seawal pangkal laluan. Itulah diri silam yang sering dibandingkan dengan keadaan sekarang. Dulunya tidak tahu apa-apa kini sudah mula celik. Dan boleh jadi, kelmarinnya suci, hari ini dikotori dosa dan noda.

Ada orang merasakan saat mudanya jahat dan pabila meningkat usia terus ingin melakukan keburukan lebih dasyat kerana alang-alang menyeluk pekasam katanya. Ada pula usia mudanya baik dan setibanya tua, ingin mencari kembali diri yang dikatakan baik di awalnya.

Realitinya kaki berdiri di laluan bermacam persimpangan. Orang bijak sahaja mampu mengharungi perjalanan hingga ke penamat dengan selamat. Orang yang bukan bijak akademik ataupun bijak berbicara, tetapi bijak membuat keputusan dalam hidup. Diri yang pandai memilih haluan yang satu daripada beribu.

Bijak. Kalau jahat, berkehendak menjadi baik. Jika baik, ingin jadi lebih baik. Letak masa silam sebagai pengajaran. Bukan mencari masa silam yang makin lama makin jauh. Naik apa jua kenderaan, mustahil akan sampai ke masa lalu kerana itu sememang tempat paling jauh yang tidak mampu lagi disinggahi.

Saat ini, tengakkan badan dan luruskan pandangan. Lihat masa depan. Ubah apa yang perlu diperbaiki. Jadi apa yang diingini . . .
“sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Potongan ayat ke-11, surah ke-13)


“Life is not about finding yourself. Life is about creating yourself” -Realiti

Bina diri sebagaimana kau impi. Parut biar kekal jadi teguran. Fikirkan strategi untuk perancangan diri. Ingat, bersedia untuk kejayaan, bersiap jika gagal. Dalam kata lain, jangan pernah putus asa. Cipta diri baru yang tidak mampu ditumpaskan mana-mana godaan.
Ciptaan diri apakah itu?

Ialah ruh dan susuk yang benar akidah, tinggi ilmu, baik akhlak dan kuat tubuh badan. Datang ribut mahupun taufan, kaki ini pasti tidak goyang. Kerana dunia ini sementara, masa jangan terbuang mencuba kejahatan. Tidak senang ingin keluar dari lubang, tambah lagi bila ajal maut bila-bila masa boleh datang.

No comments:

Post a Comment