Image and video hosting by TinyPic
Kamu tidak perlu mengenali kami kerana kami di kalangan kamu semua yang saling memperingatkan kepada Allah dan Rasul.

Saturday 9 May 2015

Dunia Asing

Perkenalan pada satu dunia yang asing bukanlah sesuatu yang biasa-biasa. Memori itu adalah memori yang istimewa. Malah, apabila difikirkan kembali, ada terlintas rasa tidak percaya akan semua ini. Namun, inilah hakikatnya, dan inilah juga yang dinamakan takdir Allah s.w.t. Dunia itu adalah dunia 'Dakwah & Tarbiyah'.



Tika pertama kali mendengar istilah 'Dakwah' dan 'Tarbiyah', pastinya akan ada tanggapan bahawa semua ini adalah hal-hal agama dan hanya orang-orang baik sahaja yang layak. Maka, dua keadaan ada dihadapi, samada merasakan diri tidak layak atau merasakan bahawa diri ini layak kerana menganggap diri ini sememangnya baik. Dalam kata mudahnya, rasa rendah diri atau riyak. Ketahuilah, keadaan kedua itu lebih membahayakan. Nau'zubillah. Namun, percayalah bahawa ini adalah kehendak Allah sebagai hidayah atau ujian. Gunalah hak berfikir untuk menerimanya sebagai nikmat atau bala.

Dengan penglibatan ini juga, secara tidak langsung seseorang itu pelu menyerahkan seluruh komitmen dari segi tenaga, masa dan harta untuk dunia 'Dakwah & Tarbiyah'. Maka, adalah perlu untuk seseorang itu melatih disiplin dalam diri untuk memastikan keutuhan diri untuk berbakti demi agama. Dengan keperluan disiplin inilah, tokoh-tokoh dakwah menggariskan beberapa wasilah untuk individu-individu bertuah ini patuhi. 

Dunia 'Dakwah & Tarbiyah' ini juga sering dikaitkan dengan penubuhan satu organisasi yang tersusun dan teratur dari aspek pengurusan dan gerak kerja. Tidak dinafikan, pelbagai organisasi wujud, malahan di Malaysia sendiri terdapat beberapa organisasi yang bergerak aktif sehingga ke peringkat antarabangsa. Dengan itu, setiap individu yang melibatkan diri dalam dunia 'Dakwah & Tarbiah' mempunyai hak memilih untuk bergerak dengan mana-mana organisasi sebagai satu jemaah. Hal ini kerana keperluan untuk berjemaah dalam menggerakkan dakwah dan tarbiyah ini adalah satu keperluan.




Oleh itu, buat individu-individu yang telah melihat peluang untuk sama-sama bergerak dalam dunia 'Dakwah & Tarbiyah' ini, jangan lepaskannya. Peluang ini merupakan satu jalan berbakti untuk agama serta membantu umat akhir zaman dan meneruskan legasi dakwah Rasulullah s.a.w. Biarpun tidak didendang keperwiraan dalam menjelajah dunia ini. Ayuh, bersama kita gerakkan dakwah, perkasakan tarbiyah!

No comments:

Post a Comment