Image and video hosting by TinyPic
Kamu tidak perlu mengenali kami kerana kami di kalangan kamu semua yang saling memperingatkan kepada Allah dan Rasul.

Thursday, 16 June 2016

Istimewa



Bulan Ramadhan ialah bulan yang sangat istimewa kerana di dalamnya terdapat seribu satu keberkatan dan kemudahan yang tiada pada bulan lain. Pahala amalan sunat sama seperti amalan wajib seterusnya yang wajib digandakan sebanyak 70 kali ganda. Usah bertanya banyak mengapa bulan Ramadhan. Yang utamanya ialah kita patut bersyukur kerana disempatkan umur untuk menikmati bulan ini. Yang terdekat dan paling diketahui ramai ialah satu kehilangan besar iaitu Muhammad Ali, peninju dunia yang dijemput rohnya dua hari sebelum Ramadhan. Semoga rohnya dan sekalian umat Islam dicucuri rahmat dan ditempatkan di tempat orang-orang yang soleh.
Istimewa ni boleh dilihat dari pelbagai pandangan. Jika diambil dari sudut tempat, Makkah dan Madinah ialah tempat yang agung dan disebut dalam hadis nabi peringkatnya jika dapat solat di tempat-tempat tersebut. Dalam kalangan manusia pula Allah telah memilih para rasul dan nabi untuk menyampaikan petunjuk untuk umat masing-masing. Mereka ini diberikan mukjizat yang tidak akan diperoleh oleh orang biasa-biasa. Sudah tentu mereka ini istimewa.
Lihat pada diri kita, apa sebenarnya yang istimewa tentang diri kita. Adakah kita mempunyai skill untuk bermain bola sepak, atau mahir dalam bidang lukisan? Maaf. Itu semua boleh tolak tepi dulu. Sesuatu yang lebih besar untuk kita sedar ialah kita mempunyai keistimewaan kerana kita adalah umat nabi Muhammad. Umat yang terakhir tetapi terlebih dahulu dihisab semasa di akhirat kelak. Istimewa kerana kita juga disebut dalam Al-Quran sebagai umat pilihan dan umat terbaik. Tak percaya?
‘’Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma`ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (3:110)
Umat terbaik kan. Kenapa terbaik ye? Pernah tak terfikir? Baca balik ayat tu, betul tak sebab dalam ayat tu disebut umat terbaik kerana datangnya dengan tanggungjawab yang agak besar. Sama seperti nabi Muhammad ketika permulaan diangkat menjadi rasul, sudah tiada lagi kerehatan untuk Baginda. Bagaimana pula dengan kita bila tahu kita diberi amanah untuk mencegah yang mungkar dan mengajak kepada kebenaran.
Ayat ini dikira tepat pada dahi kita setelah kita perhatikan dunia kita sekarang. Pembunuhan orang tidak bersalah, maksiat berleluasa, kezaliman melampau, ketidak adilan dalam perniagaan dan banyak lagi kemungkaran yang terjadi tetapi terlalu berat untuk disebut. Kadang-kadang seperti umat ini sudah tidak mampu untuk bangkit kembali. Tapi kita perlu jadi orang-orang yang tidak jemu mencuba kerana masih terdapat banyak lagi cara untuk memastikan umat ini bangkit kembali.

Mulakan langkah untuk bangunkan umat ini dengan pembentukan akhlak diri. Kenapa ia dikatakan berkesan? Sebab Baginda dulu pun menggunakan cara yang sama saat pertama kali untuk membentuk masayarakat Islam ketika itu sehinggalah Islam ini telah berjaya disebarkan sampai ke dua pertiga dunia. Rujukan sudah pun ada di depan mata dengan berbekal al-quran dan as-sunnah sepatutnya kita mampu untuk berjaya. Jadi lakukan lah walau sekecil mana pun usaha asalkan ianya berterusanan terhadap diri sendiri.

No comments:

Post a Comment